Sunday, April 2, 2017

Sudut Pandang Hidup

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria
Hidup ibarat memandu di lebuhraya; adakala kau perlu memecut meninggalkan semuanya di belakang; adakala kau patut 'take it easy' dan 'enjoy the moment'.

Hidup aku seorang guru.
Sudut pandang aku seharusnya berkisar 360 darjah.

Hari ini, tatkala aku menjamah lauk sedap,
adakah aku tahu,
ada anak muridku yang hanya melihat rakan-rakan mereka di kantin dari tingkap kelas, sambil menahan lapar?

Hari ini tatkala yang aku pandu laju keretaku menuju ke sekolah,
adakah aku tahu, ada di sana anak didikku yang menunggu bas seusai Subuh,
sendirian-
demi seteguk ilmu?

Hari ini, tatkala aku menilai seorang murid,
dia kumarahi dek kesalahan yang aku kabur kebenarannya,
adakah aku tahu, bagaimana kehidupannya sebenar di luar sana?

Kini, tatkala kualih sudut pandang itu,
agar ia berputar, supaya kasut kami bertukar,
aku dekati dia,
aku berjalan seiring dengannya,
aku hargai pandangannya,
aku dengar pendapatnya;

Akhirnya;

aku tersentap dengan kebenaran di depan mata;
betapa realiti kehidupannya amat pedih;
walau hujahnya dalam tawa sentiasa,
aku merasa liur yang kutelan tersekat pahit di kerongkong.

Betapa mulia hatimu muridku,
tatkala kau aku marahi suatu masa itu,
kau hanya diam membisu,

Tika itu,
acapkali kau ingin bersuara,
aku lantas memintasmu.

Syukur aku,
takdir ini kini mendekatkan aku dan kau,
Aturan yang Tuhan tentukan untuk aku dan kau,
aku tahu kini jalan hidupmu,
aku arif kini mengapa kau bersikap begitu
aku pilu meratapi kepayahan hidupmu,
yang kau hadapi saban hari,
merungkai satu demi satu di depan mataku;
mengapa kau bersikap bagaimana kau bersikap dulu;

Dalam usiamu yang amat rapuh,
tatkala kawan-kawan lain mewah dengan kasih-sayang,
melimpah-ruah dengan perhatian,
tapi kau sebaliknya.

Aku mula sebak,
melihat kau masih bercerita kepadaku dalam tawa,
kepayahan hidup yang kau lalui serta rencanamu setiap hari,
sendirian;
agar kau dapat hadir menimba seteguk ilmu di pekan bertuah ini.

Aku tersentap lagi;
betapa rapuhnya jiwaku,
betapa utuhnya jiwamu anakku.

Kini, aku yang dulunya sentiasa fikir,
hanya kau harus mendengar bicaraku,
mula tersedar,

aku sebenarnya yang patut membisu,
dan biar kau berbicara,

kerna-

aku sudah lama didengari,
tapi jarang aku mendengar.

Maafkan aku Tuhan,
semoga hidayahMu memandu aku menjadi manusia yang memanusiakan manusia.



1 comment:

  1. Salam ziarah
    Jemput singgah blog saya
    akinascarves.blogspot.my

    InsyaAllah bermanfaat

    ReplyDelete