Monday, November 16, 2015

Hidup, roda dan kail

Teks: Rozanah Zakaria

Kata orang, hidup umpama roda.
Ada juga kata, jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

Apa pun orang kata,
saya kata, hidup mesti terus.
Orang Inggeris kata 'life must go on.'

Apa pun orang kata,
Kita kena ingat, roda itu bulat
Banyak tafsiran yang kita boleh buat dengan roda.

Kala di atas, kita kena pandai imbangkan diri, agar berdiri tinggi dan tidak senget atau jatuh meyembah bumi
Kala di bawah roda pula, kena sedar diri bahawa Allah sayang kita.
Dia beri ujian mungkin kerana kita lupa berterima kasih padaNya
Kerana resmi manusia, jika terhantuk, baru fikir hendak tengadah.

Kail juga boleh dikias dengan hidup kita ini yang sebentar cuma.
Jika tali kail kecil, carilah lubuk kecil
Agar pelaburan kita berbaloi
Andai mahukan ikan besar, bersedia dengan tali yang lebih kukuh

Dalam ertikata sebenar, ilmu perlu ditambah setiap saat dalam hidup kita, kerana ilmu Tuhan itu luas, jadi jangan kita mendabik dada kitalah paling berilmu dari segala manusia.

Moga catatan insan kerdil ini bisa mengubah persepsi kita untuk sentiasa bersangka baik dengan manusia dan Tuhan.

Wassalam. 😊

Monday, November 9, 2015

kampung ku

Teks: Rozanah Zakaria

Hari ini aku masih di kampung.

Suasana berbeza dari kepulangan aku yang lepas. Hari itu, cuaca seolah-olah diselaputi awan putih yang berbahang, panas! Itu jerebu.

Pagi ini, agak terkejut juga aku, suasana pagi seolah-olah diselaputi awan tebal; aku berjalan 'membelah kawanan awan' ini. Terasa muka ditampar lembut dek kesejukan pagi. Owh, kabus rupanya.

Syukur, lama aku tidak melihat kabus. Tatkala aku menulis, matahari mula menampakkan diri. Namun, cahayanya lembut menerobos celahan dedaunan pokok-pokok bunga emak.

Terasa sayang pula ingin kutinggalkan suasana ini. Namun, aku punya tanggungjawab besar di sana. Aku pasti pulang lagi seperti selalunya. Namun kali ini benar-benar terasa kelainannya

Suasana damai pagi bendang yang telah lama bersembunyi kini muncul lagi.

Jom! Emak ajak aku ke Nat (pasar pagi, di Kedah dipanggil Nat).

Moga seri hari ini yang beransur hilang bakal diganti dengan luhurnya budi insan di bumi nan indah ini.

Jom ke Nat!

Friday, November 6, 2015

Kisah Kaira

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Pulangnya Kaira dari sekolah hari ini, terus kalut dia bercerita.

Katanya kawan baiknya, Aishah hadiahkan dia pembaris Hello Kitty.
Aku tersenyum.
Kemudian terfikir, alatulis dengan karakter kartun mesti mahal.
Lantas bertanya ibu ini kepada si kecil.

'Aishah belikan Kaira pembaris tu, dia makan tak waktu rehat tadi? Cukup ke duit dia makan?'.

Pantas Kaira menjawab soalanku,

'Mama, (sambil buat mimik muka yang sangat yakin) pembaris tu tak mahai la, seringgit lima kupang ja (bahasa Penang dia memang pekat).'

Terkejut aku mendengar! Bagi seorang murid sekolah rendah, bagi aku jumlah wang sebanyak itu sangat besar. Lantas aku bertanya lagi,
'Uish, mahainya, kenapa mahai sangat?'

 Kaira sekali lagi menjawab dengan yakinnya,

'Yela mama, pembaris tu, kalau ada lima kupang pun boleh bagi. Kalau takdak, bagi seringgit pun takpa, nanti dapat balik lima kupang. Seringgit lima kupang la tu.'

Muka Kaira nampak sangat puas hati setelah menerangkan dengan panjang lebar kisah dia dan pembaris Hello Kitty. Aku terkedu sekejap! Haha, kemudian aku ketawa! Rupanya pembaris comel tu harganya lima puluh sen, bukan seringgit lima puluh sen. Hehe. Kaira, Kaira.

Begitulah cerita Kaira. Kelakar? Aku gelak sungguh-sungguh mendengar cerita dia.
Dia pula? Seperti biasaa berlagak selamba, kerana dia sangat yakin dengan ceritanya.

Untuk Kaira, nanti Kaira baca tulisan Mama ni, jangan marah Mama ye! :)

Sumber: Carian Google